Jumaat, 20 Mei 2011

Malaysiakini :: Surat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Malaysiakini :: Surat


Mahasiswa perlu konsensus baru

Posted: 20 May 2011 04:00 AM PDT

Kebelakangan ini, setelah berlalu beberapa pilihan raya kampus di universiti-universiti, ramai pihak mula menganalisis berkenaan corak pergerakan mahasiswa di kampus. Apakah mahasiswa hari ini mula kembali lesu, atau sebahagian yang lain menanti-nanti bagaimana corak dan perjuangan mahasiswa seterusnya.

Bagi pandangan rakyat terkini - yang didogmakan dengan media massa - melihat pergerakan mahasiswa di kampus terlalu agresif. Agresif dalam erti kata menunjukkan penentangan dan perlawanan dalam isu-isu hak mahasiswa. Misalnya insiden rempuhan kumpulan Pro-Mahasiswa di UPM kerana tidak berpuas hati pembatalan calon mereka.

Walaupun begitu, tidak dinafikan, memang itu gaya gerakan mahasiswa.

Rentetan daripada itu, pihak tertentu semakin banyak memperkatakan soal kematangan mahasiswa di dalam berpolitik. Ada yang berhujah, mereka matang sekiranya diberi tempat dan ruang, tidak kurang yang sebaliknya, oleh sebab itu mahasiswa perlu disekat - dek ketidak matangannya.

Persoalan matang atau tidak, perlu dilihat dalam konteks mahasiswa. Sesetengah ahli politik hari ini juga boleh ditafsirkan sebagai berpolitik secara tidak matang seperti Umno yang menggunakan video seks untuk menjatuhkan lawan politiknya. Ini bukan sahaja tidak matang, bahkan terlalu kotor dan jijik.

Sejarah

Elok kita meneliti sejarah bagaimana mahasiswa era 60-an memiliki 'suara' yang begitu kuat dan lantang dalam mengimbangi kerajaan persekutuan ketika itu. Sejarah yang melatari Malaysia pada ketika itu adalah permulaan pasca-merdeka yang mana kerajaan masih 'bertatih' merangka dasar dan polisi kerajaan untuk dilaksanakan kepada rakyat.

Ketika itu, hanya dua kelompok sahaja yang dinilai oleh rakyat dan masyarakat sebagai golongan intelek iaitu kerajaan dan mahasiswa. Kerajaan adalah kerana mereka memegang polisi, manakala mahasiswa adalah golongan terpelajar universiti yang di dalamnya mereka belajar berkenaan polisi dan dasar tersebut.

Lebih daripada itu, ruang yang terbuka yang disediakan oleh universiti untuk mahasiswa ini bersuara, mengaktifkan dan mencambahkan lagi idealisme dan semangat perjuangan mereka. Mereka 'belajar dan seterusnya mencabar pengajaran mereka', seperti kata Profesor Ungku Aziz, intelektual terkemuka.

Tidak hairanlah selepas peristiwa 13 Mei 1969, berlaku gerakan mahasiswa memprotes dasar Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pada ketika itu berkenaan pendirian terhadap soal-soal perkauman, jurang ekonomi serta kemiskinan luar bandar. Protes itu dinamakan Demonstrasi Anti-Tunku 1969.

Peristiwa lain, bagaimana mahasiswa juga mendesak penyelesaian terhadap kemiskinan yang melanda masyarakat Baling pada tahun 1974 yang mengheret ribuan mahasiswa dan rakyat ke kawasan Baling.

Kini

Kini isu-isu mahasiswa tidak lebih hanya berlegar di sekitar isu hak dan keperluan mahasiswa, misalnya pemansuhan AUKU, autonomi universiti serta demokrasi dan ketelusan pilihan raya kampus. Mahasiswa lantang di kampusnya, namun hanya sedikit tenggelam apabila 'dilempar' ke luar universiti.

Sedar atau tidak sebenarnya, pada hari ini ruang untuk suara-suara didengari semakin terbuka dan luas. Bahkan semakin ramai intelektual semakin berani bersuara. Jika dahulu hanya dua golongan - mahasiswa dan kerajaan - dilihat sebagai intelektual dan mampu bersuara, pada hari ini tidak lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri mengisytiharkan " Zaman kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir". Apa maksudnya? Kerajaan bersedia mendengar pandangan semua pihak - walaupun kenyataan bermotif politik.

Kemunculan NGO-NGO baru dengan perjuangan masing-masing, serta NGO yang sedia ada yang semakin agresif dan terbuka menyatakan pandangan serta dirancakkan lagi dengan kemunculan media-media baru dan lama yang memberikan ruang luas kepada kumpulan-kumpulan ini memberi kesan bahawa - semua suara boleh dan berhak didengari.

Di mana mahasiswa ketika ini?

Konsensus baru

Tidak dapat tidak, satu konsensus baru perlu difikirkan dan dilaksanakan oleh mahasiswa. Lebih-lebih lagi dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang. Prinsip mahasiswa sebagai third force(kuasa ketiga) masih lagi releven jika diberi semangat dan nafas baru.

Setidak-tidaknya mahasiswa punyai dua pilihan selaku anak muda dan golongan terpelajar.

Pertamanya, mereka boleh mencontohi Mesir, menumbangkan kerajaan yang zalim dan menindas rakyat dengan proses Revolusi. Pendokongnya adalah anak muda - golongan yang tidak punyai apa kepentingan - dalam politik mahupun kuasa.

Keduanya dengan menyatakan keberanian menyertai pilihan raya umum akan datang. Mahasiswa perlu hadir sebagai kuasa ketiga - tidak punyai kepentingan politik - disamping bersih dan berwibawa. Mahasiswa hanya perlu perjuangkan isu mahasiswa dan anak muda seperti PTPTN, peluang pekerjaan dan sebagainya. Sokongannya pasti daripada anak muda dan majoriti mahasiswa di universiti.

Menyertai pilihan raya dengan berhasrat membawa suara mahasiswa dan anak muda ke dalam Parlimen. dalam erti kata lain, mahasiswa menghantar wakil ke Parlimen. Permulaannya, seluruh gerakan mahasiswa harus bersatu dengan matlamat menumbangkan politik kotor dan mengangkat politik nilai dan rakyat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Selamatkan media berkecuali Malaysia

Posted: 19 May 2011 10:38 PM PDT

Ramai yang terkejut apabila Merdeka Review mengistiharkan penamatan operasinya semalam. Hal ini kerana Merdeka Review merupakan antara media berkecuali yang memainkan peranan penting dalam proses memperkasakan sistem demokrasi tanah air.

Namun, atas sebab ketiadaan dana yang diperlukan untuk menlaksanakan tanggungjawab ini, Merdeka Review terpaksa mengumumkan penamatan operasi mereka yang bermula pada hujung bulan ini.

Seperti yang sedia maklum, media berkecuali memainkan peranan yang mustahak untuk memantau pihak berkuasa (parti pemerintah) mahupun pihak pembangkang agar menjamin keberkesanan kuasa-kuasa politik dalam pentadbiran negara.

Oleh itu, Merdeka Review seringkali menemui pelbagai rintangan daripada pihak berkuasa dan parti pembangkang yang menganggap Merdeka Review sebagai "musuh ketat" kepada mereka.

Pada hari yang sama, penyokong media berkecuali di Malaysia telah dimaklumkan dengan berita yang cukup menceriakan mereka, yakni Malaysiakini telah berjaya mencatat bilangan pembaca (pengguna) yang paling ramai berbanding dengan media arus perdana lain yang turut menyajikan berita mereka di laman sesawang.

Berita ini adalah perkara yang cukup memerangsangkan buat penyahut media berkecuali yang haus dengan berita, analisa dan pandangan yang berbeza dengan media arus perdana yang seringkali dikaitkan dengan perutusan daripada pihak kerajaan.

Akta-akta seperti PPPA, OSA, ISA yang sedia ada, dengan berkesan, telah menggugat ketelusan dan kebebasan media Malaysia untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

Bukan itu sahaja, tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang kelihatan kurang adil semasa mengendalikan kes-kes yang melibatkan media Malaysia secara implisitnya telah memburukkan lagi keadaan.

Hal ini jelas terbukti melalui tindakan "double standard" KDN terhadap laporan Utusan Malaysia berkenaan dengan isu "Kristian Agama Rasmi?" negara serta tindakan yang diambil terhadap Malaysiakini berhubungan dengan liputan isu kepala lembu yang telah menggemparkan rakyat Malaysia.

Sehubungan dengan perkara ini, media arus perdana telah dijinakkan atau lebih teruk lagi, membiasakan diri mereka dengan laporan berita yang menyenangkan pihak berkuasa.

Secara tidak langsung, media arus perdana telah meminjam tangan mereka kepada pihak berkuasa lalu menjejaskan prestasi mereka kerana laporan mereka bagaikan perutusan yang telah dirancang dan didraf oleh kerajaan Barisan Nasional.

Dengan kata lain, pandangan-pandangan yang bertentangan dengan pihak berkuasa amat tidak digalakkan dan lazimnya ditutup daripada pengetahuan ramai.

Perkara ini amat merugikan masyarakat yang memerlukan kepelbagaian pendapat dalam menjamin proses demokrasi yang sihat. Masyarakat perlu dimaklumkan dengan pelbagai maklumat dan pandangan untuk membuat pilihan yang terbaik buat mereka.

Sejak penubuhannya pada lima tahun yang lepas, Merdeka Review tidak pernah henti menyediakan laporan dan analisa yang kritis serta berbeza dengan media arus perdana yang lain.

Namun, semua ini hanyalah kenangan semata-mata buat pencinta media berkecuali tanah air sekiranya Merdeka Review tidak mampu mendapat sumbangan kewangan yang amat diperlukan untuk meneruskan operasi mereka.

Dengan ini, saya menyeru agar pembaca Malaysiakini dan penyahut media berkecuali agar memberikan bantuan kepada Merdeka Review.

Antara bantuan yang boleh diberikan termasuk menyebarkan perkara ini kepada khalayak ramai agar membangkitkan kesedaran akan kepentingan media berkecuali seperti Merdeka Review lalu memberi sumbangan kewangan kepada mereka. "Anda boleh derma melalui akaun bank berikut:

Hong Leong Bank Account: Merdeka Review Sdn. Bhd. (No akaun: 04001025891)
EON Bank Account: Merdeka Review Sdn. Bhd. (No.akaun: 0595110002973)
Maybank Account: Merdeka Review Sdn. Bhd. (No. akaun: 514440123099)"

Sumbangan anda amat dialu-alukan. Dengan ini, saya merakamkan ucapan jutaan terima kasih buat sumbangan yang bakal anda berikan. Sekian.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.malaysiakini.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysiakini Online

Copyright 2010 All Rights Reserved