Rabu, 1 Jun 2011

Malaysiakini :: Berita


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Malaysiakini :: Berita


Nik Aziz tentang semua 'warna' sekularisme

Posted: 01 Jun 2011 10:42 PM PDT

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menjadikan penegasan menentang fahaman sekularisme sebagai inti penting dalam ucapan pemulanya dalam muktamar parti itu yang sedang berlangsung.

"Saya menyatakan perkara ini sebagai satu penegasan agar PAS mampu berdepan dengan penjajahan pemikiran dan gelombang sekular yang datang dengan pelbagai warna, ada yang biru dan ada yang merah.

"Walau apa jua warna sekalipun, ia tetap merupakan gelombang jahiliah yang mesti ditolak," katanya ketika merasmikan pembukaan Dewan Muslimat di Shah Alam hari ini.

Dalam konteks Pakatan Rakyat, PAS walaupun sebuah parti Islam tetap bergabung bersama PKR dan DAP yang mempunyai perlembagaan parti yang sekular.

Gabungan itu bagaimanapun mengakui mengakui Islam sebagai agama persekutuan seperti termaktub dalam perlembagaan.

Dalam ucapannya, Nik Aziz berkata, perjuangan PAS berdasarkan kepercayaan bahawa semua perkara dalam dunia ini milik Allah dan ekoran itu perintah-Nya dalam Al-Quran dan Hadis mesti dituruti.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau mendakwa, Umno antara pihak yang menentang perkara tersebut.

Katanya, parti itu hanya "menentang orang Melayu yang menolak Islam" dengan nama Umno.

Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Nuridah Salleh dalam ucapannya sebelum itu mengingatkan anggota dewan itu mengambil iktibar daripada kekalahan mereka dalam pilihan raya Sarawak bagi menghadapi pilihan raya umum depan.

Katanya, kegagalan mereka di kesemua lima kerusi yang ditandingi merupakan mesej dariapda tuhan bahawa tiada jalan pintas untuk berjaya.

"Mana mungkin pengundi-pengundi yang tidak langsung mengenali dan memahami perjuangan PAS dapat semua dirayu dan diyakinkan dalam hanya lapan ke sepuluh hari berkempen?" katanya.

[Baca berita penuh]

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ulama: Jangan terlalu rai rakan Pakatan

Posted: 01 Jun 2011 10:15 PM PDT

Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib mengingatkan kepimpinan PAS supaya tidak terlalu mengikut "rentak" pihak tertentu, termasuk dalam Pakatan Rakyat dalam usaha memelihara parti Islam itu.

Katanya, beliau bimbang PAS akan kehilangan identiti dan jatidiri Islam yang menjadi dasar parti itu.

"Kepimpinan PAS tidak boleh membiarkan PAS kehilangan identiti dan jati diri Islam semata-mata kerana terlalu meraikan kehendak pihak-pihak lain termasuk rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

"PAS dinamik dalam menangani perubahan tanpa mengorbankan al-thawabit (pendirian).

"Tidak ada kompromi dalam soal hukum halal dan haram yang telah dinyatakan secara sarih (jelas) dan nyata dalam Al-Quran dan al-Sunnah," kata Harun.

Bagaimanapun, dalam masa yang sama, sebagai sebuah gerakan Islam, beliau menyeru agar PAS meraikan perubahan dalam arena politik negara ini.

Teks ucapan Harun bertajuk "Ulama Haraki Teraju Kemenangan" dibacakan timbalannya Datuk Ahmad Yaakob di muktamar dewan itu di Gombak pagi tadi.

'Orang kanan mesti Ulama Haraki'

Dalam ucapannya, Harun turut mengingatkan PAS agar tidak menjadi seperti Umno yang didakwa menggunakan alasan tadarruj (berperingkat-peringkat) untuk menafikan pelaksanaan hukum sedangkan mereka tidak ada matlamat ke arah itu.

"Tadarruj perlu berpaksikan kepada tempoh tertentu yang berakhir dengan pelaksanaan sepenuhnya hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT," katanya.

Dalam ucapan itu juga, Harun turut mempertegaskan bahawa bahawa gerakan Islam seperti PAS akan sentiasa didokong oleh 'Ulama Haraki'.

Harun mentakrifkannya sebagai "golongan yang memiliki ilmu agama, melaksanakan amanah perjuangan, sabar dan tidak sekali-kali berhenti daripada melaksanakan jihad dalam harakah Islam.

"Parti Islam Semalaysia (PAS) yang berdiri di atas paksi kepimpinan ulama, perlulah memiliki tenaga alim ulama yang setia dan bergerak cergas sama ada di peringkat atasan seperti Syura, ahli jawatankuasa harian, ahli jawatankuasa kerja, mahupun para pengurusan ulama di peringkat negeri atau kawasan," katanya.

Sehubungan itu, dari sudut organisasi, Harun berkata pucuk tertinggi parti perlulah disokong oleh para pembantu atau 'orang kanan' yang turut memiliki kualiti sebagai 'ulama haraki'.

"Golongan inilah yang akan menjaga dasar-dasar Islam sepanjang parti melaksanakan amanah kepemimpinan, meneraju umat ke arah kemenangan yang diimpikan, di dunia dan di akhirat, -Insya-Allah," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.malaysiakini.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysiakini Online

Copyright 2010 All Rights Reserved