Isnin, 11 Julai 2011

Malaysiakini :: Berita


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Malaysiakini :: Berita


Kain rentang palsu, Pemuda Umno Kedah buat laporan

Posted: 11 Jul 2011 12:20 AM PDT

Pemuda Umno Kedah hari ini membuat laporan polis mengenai dua kain rentang palsu yang menggunakan gambar pengerusi badan perhubungan Umno negeri itu, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan didakwa dibuat pergerakan itu.

Ketua Pemuda Umno Kedah Badrol Hisham Hashim berkata beliau terpaksa membuat laporan di ibupejabat polis daerah Kota Setar pagi tadi berikutan pemasangan kain rentang ucapan tahniah kepada Kolej Universiti Insaniah (Kuin) itu merupakan kain rentang palsu kerana Pemuda Umno Kedah tidak terlibat langsung dengan kain rentang itu.

Katanya satu daripada kain rentang itu dipasang di Bangunan Persekutuan berhampiran bulatan Jalan Sultan Badlishah di Alor Setar dan satu lagi di Bulatan Stadium Darulaman.

"Jelas kain rentang berkenaan adalah satu kain rentang palsu yang dibuat pihak tertentu yang mempunyai maksud terlindung dan berniat jahat," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis hari ini.

Katanya Pemuda Umno Kedah kesal dengan penggunaan gambar Ahmad Bashah dan kata-kata yang ditulis pada kain rentang berkenaan kerana ia adalah satu tindakan berbentuk provokasi kepada Umno.

"Ia cuba mencetuskan persepsi salah kononnya Umno terlibat dengan kemelut yang sedang melanda Kuin ketika ini. Kita semua sedia maklum, kerajaan negeri sedang berhadapan dengan beberapa masalah berkaitan pentadbiran universiti berkenaan seperti penggantungan beberapa pelajar dan demonstrasi sekumpulan pelajar baru-baru ini.

"Kami percaya pihak yang memasang kain rentang itu mahu mengheret Umno Kedah dan Pemuda Umno Kedah dalam kemelut antara kerajaan negeri dengan Kuin," katanya.

Badrol Hisham berkata penggunaan perkataan "Daripada Pemuda Umno Kedah" memberikan gambaran pihaknya yang memasang kain rentang berkenaan sedangkan Pemuda Umno Kedah tidak terlibat langsung dalam perkara berkenaan.

"Pemuda Umno ingin menegaskan bahawa kami mahupun ejen kami tidak pernah langsung terlibat dengan sebarang aktiviti pemasangan kain rentang berkenaan.

"Pihak yang memasang kain rentang itu berniat jahat dengan menggunakan nama Pemuda Umno Kedah. Mereka cuba mewujudkan persepsi negatif tentang Pemuda Umno Kedah," katanya.

"Beliau berkata pihaknya mengesan kain rentang berkenaan pada Sabtu lepas dan menanggalkannya tetapi ia dipercayai dipasang semula pada Jumaat malam.

Katanya laporan polis yang dibuat hari ini bertujuan meminta polis menyiasat serta mengambil tindakan terhadap pihak yang mencipta, mencetak serta memasang kain rentang berkenaan.

- Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pelajar UMT didakwa hina lagu Negaraku

Posted: 11 Jul 2011 12:10 AM PDT

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah membuat laporan polis berhubung dakwaan seorang pelajar UMT mengubah lirik lagu Negaraku, menghina Raja dan juga perdana menteri di dalam laman sosial Facebooknya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata, laporan itu telah dibuat oleh pendaftar UMT di Balai Polis Gong Badak, semalam.

"Kita serah kepada polis untuk membuat siasatan berhubung perkara itu. Sehingga kini kita tidak tahu sama ada dia mahasiwa UMT atau sudah tamat pengajiannya ataupun orang luar yang menyamar.

"Kita sedar perkara ini semalam dan terus buat laporan polis. Hari ini pendaftar UMT akan memberi keterangan lagi kepada polis berhubung perkara itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Simposium Tahunan UMT yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT Prof Dr Noor Azhar Mohamed Shazili.

Dr Yahaya berkata penuntut terbabit yang menggunakan nama Mohd Farizal dalam statusnya, mengubah lirik lagu kebangsaan dengan mencerca, mempersendakan lagu negara, Raja Melayu dan juga perdana menteri.

Beliau menyifatkan perkara itu sangat serius dan akan bertindak tegas sekiranya terbukti dia merupakan mahasiswa UMT.

"Setelah siasatan polis dan jika benar dia pelajar UMT, kita akan serahkan perkara ini kepada Lembaga Disiplin UMT dengan segera untuk diambil tindakan kerana perkara ini (menghina) sangat serius.

"Seseorang pelajar tidak seharusnya melibatkan diri dalam perkara sedemikian. Dia sepatutnya menumpukan perhatian kepada pelajaran dan tidak pada yang lain," katanya.

- Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.malaysiakini.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysiakini Online

Copyright 2010 All Rights Reserved