Ahad, 11 September 2011

Malaysiakini :: Surat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Malaysiakini :: Surat


Penswastaan IWK langgar Akta Industri Air

Posted: 11 Sep 2011 12:55 AM PDT

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) membantah cadangan penswastaan IWK oleh 1MDB (1 Malaysia Development Berhad) kerana ia memudaratkan keadilan sosial dan ekonomi serta tidak sehaluan dengan undang-undang di Malaysia.

Perkhidmatan air dibahagikan kepada perawatan air, bekalan air dan perkhidmatan pembentungan. Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) adalah undang-undang yang mengawalselia semua perkhidmatan air dari segi teknikal, ekonomi dan kualiti perkhidmatan bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Undang-undang ini mulai dikuatkuasakan pada tahun 2008.

Objektif utama WSIA adalah untuk mengelakkan sebarang jenis perjanjian konsesi serta operator-operator perkhidmatan air dan perkhidmatan pembentungan dikehendaki untuk bermigrasi ke rejim pelesenan di mana mereka akan dipantau dengan ketat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Undang-undang ini ingin juga mencapai imbangan di antara keperluan ekonomi dan sosial dalam pengurusan perkhidmatan air supaya ia mempunyai kos yang berpatutan dan setaraf dengan standard antarabangsa. Ini akan memastikan penetapan tarif yang saksama dan pengurusan yang telus untuk keseluruhan perkhidmatan air.

Berdasarkan beberapa laporan akhbar tempatan, 1MDB dengan beberapa ahli perniagaan yang tidak bertanggungjawab yang berada di sebalik perancangan ini telah mengelirukan rakyat dan melanggar WSIA.

Penyelesaian-penyelesaian yang dikatakan oleh kumpulan ini adalah sama dengan langkah-langkah yang telahpun dicadangkan oleh Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dan masih menanti persetujuan Kerajaan Persekutuan sejak beberapa tahun yang lalu.

Cadangan-cadangan ini bukanlah sesuatu yang baru. Pengurusan IWK sekarang tersepit disebabkan kegagalan penswastaan sebelum ini. Maka, penswastaan semula menggunakan konsesi seperti yang dicadangkan oleh 1MDB merupakan satu penyelesaian yang salah dan tidak mempunyai ruang di sisi undang-undang selepas WSIA dikuatkuasakan sejak tahun 2008.

Kini, SPAN telahpun menghentikan IWK daripada monopoli pennyahenapan kumbahan (desludging) bagi sistem pembentungan tidak bersambung dan membuka lesen kepada syarikat-syarikat yang lain.

Bagi sistem pembentungan bersambung (yang dibil oleh IWK atau Kerajaan Tempatan), terdapat beberapa rancangan untuk pembangunan sama seperti sektor perawatan dan bekalan air. Hala tuju untuk perkhidmatan pembentungan adalah juga melalui rejim pelesenan. Tiada lagi perjanjian konsesi.

Jika mana-mana pihak berkuasa meluluskan cadangan 1MDB ini, AWER tidak akan teragak-agak untuk mengheret mereka ke mahkamah. Berhenti menggunakan cara-cara jahil untuk mendapatkan perniagaan. Apa-apa pelaksanaan yang tidak sehaluan dengan WSIA adalah satu kesalahan.

Penulis adalah presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Benarkah Tanah Melayu tidak pernah dijajah?

Posted: 11 Sep 2011 12:48 AM PDT

Berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British, dakwa sejarahwan Profesor Datuk Zainal Kling.

"Jangan kita sebut, kita terjajah selama 400 tahun. Itu adalah kesalahan yang amat besar," katanya di Putrajaya baru-baru ini.

Kalau benar tanah air kita tidak pernah dijajah British seperti dakwaan Profesor Datuk Zainal Kling mengapa kita mesti menyambut hari kemerdekaan setiap tahun?

Adakah benar dakwaan profesor tersebut bahawa adalah kesalahan yang amat besar kalau kita katakan kita terjajah selama 400 tahun.

Kalau benar dakwaan profesor tersebut makna selama ini Umno dan BN menipu rakyat kerana menggunakan wang rakyat untuk menyambut hari kemerdekaan setiap tahun. Mengapa pemimpin Umno dan BN membisu dalam persoalan ini?

Kita mendesak agar pemimpin Umno dan BN mengeluarkan kenyataan rasmi untuk mengesahkan sama ada betul atau tidak kenyataan sejarahwan Profesor Datuk Zainal Kling ini yang negara kita tidak pernah dijajah British.

Kalau benar sejarah yang kita pelajari selama ini adalah palsu dan perlu dikaji semula. Jangan salahkan rakyat Malaysia sekiranya sejarah yang mereka pelajari selama ini tidak benar dan
tidak tepat seperti dakwaan profesor tersebut.

Para pengkaji sejarah perlu tampil ke hadapan untuk menjelaskan keadaan sebenar sebelum negara ini akan jadi bahan lawak antarabangsa kerana sejarah kita boleh diubah sesuka hati mengikut kehendak dan kepentingan politik parti pemerintah.

Kita minta agar pengkaji sejarah bebaskan diri mereka daripada pengaruh mana-mana fahaman politik perkauman dan sebagainya agar rakyat Malaysia tahu kebenaran tentang sejarah tanah air ini yang banyak mengelirukan.

Sekiranya dakwaan profesor tersebut benar dan disahkan oleh pemerintah Malaysia maka dengan sendirinya semua sambutan kemerdekaan selama ini palsu dan kita semua boleh menyaman kerajaan Umno dan BN kerana menipu kita selama ini.

Adakah pemimpin Umno sanggup mengaku bahawa Malaya tidak pernah dijajah British? Suatu persoalan yang perlu dijawab oleh pemimpin Umno dan BN agar rakyat dapat kepastian dan kebenaran tentang sejarah tanah air.

Berani kerana benar takut kerana salah dan sekali lagi kita mendesak agar pemimpin Umno mengeluarkan kenyataan tentang dakwaan profesor tersebut sama ada menerima atau menolak kenyataan Malaya tidak pernah dijajah British.

Kredit: www.malaysiakini.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysiakini Online

Copyright 2010 All Rights Reserved