Selasa, 4 Oktober 2011

Malaysiakini :: Surat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Malaysiakini :: Surat


Peraturan pusat kesihatan UUM tidak masuk akal

Posted: 04 Oct 2011 05:24 PM PDT

Hendak pergi mendapatkan rawatan doktor tetapi dipaksa berpakaian formal iaitu bertali leher dan berkasut. Itulah realiti yang berlaku di Pusat Kesihatan Universiti Utara Malaysia (PKUUM).

Satu peraturan yang lansung tidak masuk akal dan tidak relevan. Mana mungkin seorang yang sedang sakit dan mengharapkan rawatan daripada doktor disuruh berpakaian formal seolah-olah ingin ditemuduga.

Lebih teruk lagi ada pelajar yang ingin mendapatkan rawatan dihalau keluar oleh kakitangan PKUUM semata-mata kerana tidak berpakaian formal.

Aduh malang sungguh nasib, sudahlah diuji dengan sakit, dihalau pula oleh mereka-mereka yang mendokong peraturan yang lansung tidak masuk akal!

Sebenarnya saya sendiri adalah salah seorang mangsa daripada beribu-ribu pengguna PKUUM. Suatu ketika saya diserang demam teruk dan telah pergi untuk mendapatkan rawatan di PKUUM.

Namun sesampainya saya di sana, tanpa banyak bicara saya terus dihalau oleh kakitangan PKUUM hanyalah kerana saya tidak berpakaian formal. Dalam keadaan yang lemah ditambah pula cuaca hujan wajarkah saya disuruh pulang semula semata-mata kerana tidak berpakaian formal?

Hebat sangatkah pengurusan PKUUM sehinggakan pelajar yang ingin berurusan dengannya perlu berpakaian formal? Adakah doktor dan kakitangannya majoriti daripada lulusan Universiti Oxford? Atau pengurusannya bertaraf lima bintang?

Segala macam persoalan bermain difikiran kami mahasiswa dengan peraturan pelik yang dicipta oleh pihak pentadbiran UUM.

Jika hendak dibandingkan dengan bayaran yang telah kami bayar setiap semester bagi tujuan kesihatan, perkhidmatan yang diberikan lansung tidak memadai. Bahkan ada pelajar yang sanggup mencari alternatif lain dengan pergi ke klinik di luar kampus semata-mata ingin mendapatkan rawatan yang lebih baik.

Apa yang diharapkan pihak PKUUM seharusnya memberikan perkhidmatan yang terbaik sesuai dengan matlamat universiti yang ingin menjadi universiti pengurusan terkemuka pada suatu hari nanti. Namun sebaliknya yang berlaku.

Janganlah membuatkan kami melabel pihak pentadbiran UUM sebagai hipokrit kerana hanya mahu mengaut keuntungan di atas kesusahan yang dihadapi pelajar semata-mata.

Saya berharap pihak pentadbiran UUM bersama MPP dapat memperbetulkan kekusutan yang berlaku ini dan bertindak segera sebelum lebih ramai lagi menjadi mangsa kepada peraturan yang tidak masuk akal ini.

Perkara ini sudah lama berlarutan dan telah berkali-kali disuarakan oleh pelajar. Pentadbiran UUM dan MPP pula sudah berkali-kali bertukar tampuk kepimpinannya.

Namun tiada apa-apa perubahan yang berlaku, ibarat mencurah air ke daun keladi. Apa yang kami mahukan adalah yang terbaik untuk universiti dan ingin menyumbang yang terbaik untuk universiti kami.

Buah diperam dengan gas carbide tidak selamat

Posted: 04 Oct 2011 04:45 AM PDT

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihati pengguna supaya tidak memakan buah-buahan yang diperam dengan menggunakan gas carbide kerana terdapat maklumat yang cukup mengenai bahayanya kepada kesihatan.

Calcium carbide mempunyai ciri-ciri penyebab kanser dan boleh mengakibatkan gangguan saraf. Ia boleh menyebabkan bunyi berdesing dalam telinga, kebas dan penyakit saraf periferal.

Jika wanita hamil memakan buah yang telah diperam bersama carbide, ada kemungkinan bayi yang akan lahir berkeadaan cacat.

Adalah tidak wajar Kementerian Kesihatan mengatakan bahawa buah-buahan yang diperam dengan menggunakan carbide selamat untuk dimakan sebelum menjalankan siasatan.

Sekadar menyebut bahawa amalan yang sama dilakukan di negara-negara lain bukan bermakna ia selamat.

Di India, kerajaan telah mengharamkan penggunaannya di bawah Akta Pencegahan Pencemaran Makanan, dan terdapat beberapa laporan media bahawa buah-buahan yang diperam dengan menggunakan gas carbide telah dirampas dan dimusnahkan.

Dalam keadaan biasa, buah-buahan akan masak hasil tindak balas hormon ethylene yang dihasilkan secara semula jadi dalam buah.

Tetapi penggunaan calcium carbide mengeluarkan gas acetylene yang mudah meruap dan meletup walaupun pada kepekatan yang rendah berbanding ethylene.

Kementerian Kesihatan perlu menyedari bahawa khasiat makanan dalam buah-buahan akan berkurang apabila ia masak ranum secara tiruan.

Buah-buahan yang menjadi ranum dengan menggunakan gas carbide akan mengalami tindak balas kimia yang berbeza berbanding buah-buahan yang ranum secara semula jadi.

Ketika buah ranum secara semula jadi, perubahan biokimia akan berlaku misalnya penyusutan klorofil, biosintesis karotenoid (antioksidan, penambah sistem imun, bahan pencegah kanser), antosianin (antioksidan yang kuat), essential oils, dan komponen perisa serta aroma.

Tetapi kesemua perubahan kimia yang menyihatkan dan menambah mutu buah-buahan ini tidak berlaku jika buah ranum secara tiruan.

Dengan mengatakan penggunaan gas carbide untuk meranum buah-buahan sebagai amalan yang selamat, Kementerian Kesihatan seolah-olah menggalakkan penggunaan lebih banyak bahan kimia dalam makanan yang sebaliknya boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

SM Mohamed Idris merupakan presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Kredit: www.malaysiakini.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysiakini Online

Copyright 2010 All Rights Reserved