Rabu, 22 Jun 2011

Malaysiakini :: Berita


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Malaysiakini :: Berita


Bayaran kes qazaf, peguam minta pandangan mufti

Posted: 22 Jun 2011 11:07 PM PDT

Firma guaman Zainul Rijal Talha & Amir meminta pandangan mufti Wilayah Persekutuan berhubung laporan yang mendakwa pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali menggunakan wang zakat agensi itu untuk membiayai khidmat guaman bersabit kes tuntutan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kes tersebut, firma guaman berkenaan mewakili responden, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Che Mat dan ketua pendakwa syarie Wilayah Persekutuan ketika itu, Shamsuddin Hussain.

Dalam satu kenyataan hari ini, firma guaman itu berkata, ia telahpun menghubungi mufti berkenaan bagi mendapatkan pandangan dan membuat tindakan lanjut.

"Firma ini akan akur dengan apa jua arahan/nasihat yang akan diberi oleh pihak mufti jika ianya berkaitan dengan firma ini," kata rakan kongsi kanan firma guaman itu, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Katanya, tiga peguam syarie telah mewakili ketiga-tiga responden termasuk beliau sendiri serta Roslizam Rahim dan Mohd Firdaus Mohamed Ariffin.

"Peguam syarie berkenaan telah mengendalikan kes tersebut dan pada 25 Oktober 2010, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur telah mengeluarkan perintah membatalkan permohonan Datuk Seri Anwar," katanya sambil menambah, Anwar juga telah merayu terhadap keputusan tersebut dan tarikhnya belum ditetapkan.

Menurutnya, pada 19 Mac, firma berkenaan telah mengeluarkan bil yuran perkhidmatan berjumlah RM32,150 kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi perkhidmatan yang diberikan kepada responden.

"Bil tersebut dituju kepada MAIWP kerana responden disaman atas kapasiti rasmi mereka. Pada 29 April 2010, kami telah menerima sekeping cek berjumlah RM32,150 bagi pelunasan bil tersebut.

"Tertera di atas cek tersebut nama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Tidak tertulis langsung di atas cek tersebut dana diambil dari sumber zakat ataupun apa-apa sumber lain," katanya.

Menurut Zainul lagi, firma tersebut tidak mengetahui langsung bayaran yang dibuat diambil dari sumber mana.

"Bukan menjadi polisi firma untuk menyiasat apa-apa bayaran yang diterima dari mana-mana anakguam, sumber atau punca bayarannya.

"Saya juga yakin mana-mana firma lain, juga tidak mengamalkan menyiasat sumber dana kesemua anakguam mereka," tambahnya.

Berikutan itu, tegasnya, firma guaman itu telah meminta pandangan mufti Wilayah Persekutuan dan akan akur dengan apa juga arahan/nasihat beliau jika ia berkaitan dengan pihaknya.

"Saya juga menyarankan pihak-pihak yang mempersoalkan perkara ini, mengambil panduan dari mufti Wilayah Persekutuan bagi menyelesaikan isu ini selari dengan kehendak hukum Syarak.

"Sekali lagi saya menegaskan bahawa firma ini tidak terlibat langsung mengenai bagaimana cara pembayaran yang dibuat oleh MAIWP," tegas Zainul.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Isa Samad: Pinjam duit KWSP satu 'penghormatan'

Posted: 22 Jun 2011 10:35 PM PDT

Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad berkata tidak ada masalahnya jika Felda meminjam wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) – berjumlah RM6 bilion seperti yang ditimbulkan oleh Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) sebelum ini.

Mohd Isa turut menangkis tanggapan bahawa pinjaman berkenaan menunjukkan Felda kini menghadapi krisis kewangan walau dilaporkan meraih keuntungan sebanyak RM1.197 bilion tahun.

Beliau berkata pinjaman berkenaan merupakan satu "penghormatan" kepada Felda kerana ia menunjukkan keyakinan KWSP bahawa lembaga pembangunan tanah itu mampu melunaskan pinjaman berkenaan.

"Apa masalahnya pinjam? Kita pinjam pun daripada (KWSP), (KWSP) bagi kita pinjam itu juga satu penghormatan sebab yakin pada kita, kita boleh bayar.

"Kalau saya meniaga saya ada duit, takkan saya nak guna semua duit saya sendiri, saya mesti pinjam. Itu yang penting, apa yang masalahnya kalau pinjam?

"Saya pun tak tahu apa masalah yang ditimbulkan itu. Saya beli kereta pun pinjam, saya tak tahulah kalau semua orang ANAK ini semua bayar tunai, saya tak tahulah," katanya lagi, menyindir NGO yang menimbulkan isu berkenaan.

Selain ANAK, perkara itu juga ditimbulkan oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menuntut Felda menjelaskan sama ada salah sebuah anak syarikatnya – Felda Global Ventures – mengalami kerugian dalam pelaburan di seberang laut.

Dalam satu kenyataannya, Anwar mendakwa kerugian daripada pelaburan dalam tempoh 2007 hingga 2010 itu berjumlah hampir RM500 juta.

Kerugian itu didakwa melibatkan pelaburan ke dalam syarikat Felda Iffco Sdn Bhd, Twin Rivers Technologies US, TRT-ETGO Canada, Felda Global Ventures Middle East dan juga Felda Global Ventures Arabia.

Sementara itu, ditanya sekiranya beliau menyentuh mengenai kerugian yang dialami Felda Global Ventures dalam ucapannya terdahulu, Mohd Isa secara ringkas berkata beliau hanya menyentuh mengenai kerugian itu secara umum.

"(Felda) pernah juga rugi pada awal-awal, tapi yang penting adalah bagaimana kita menguruskan kerugian itu supaya jadi baik," katanya lagi.

Dalam ucapannya terdahulu, Mohd Isa turut meminta wakil peneroka ke AGM berkenaan supaya "bersyukur" dan "tidak terpedaya" dengan golongan tertentu yang didakwa terus "mencucuk" masyarakat peneroka berhubung kerugian yang dialami Felda.

"Kita akan rugi sebab perjuangan mereka ini sampai pilihan raya ke-13... Jangan terpedaya kata kami di Felda nak menindas, nak menipu. Tak ada begitu sebab kita tahu tujuan hendak hapuskan kemiskinan luar bandar.

"Ada orang mencucuk masyarakat Felda, tapi apa nak buat memang ada orang macam itu," katanya lagi yang dipercayai merujuk kepada tindakan berterusan oleh kumpulan peneroka yang memfailkan saman ke atas Felda.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.malaysiakini.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysiakini Online

Copyright 2010 All Rights Reserved