Rabu, 22 Jun 2011

Malaysiakini :: Surat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Malaysiakini :: Surat


Mahasiswa, AUKU dan PRU13

Posted: 21 Jun 2011 06:52 PM PDT

Beberapa ketika dahulu dunia aktivisme kemahasiswaan diberi nafas kembali apabila Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mencadangkan agar mahasiswa kembali diberi ruang melibatkan diri dalam politik.

Beliau berkata, masanya telah tiba bagi kita mengkaji semula kedudukan sekarang dan berfikir secara serius bagi membenarkan pelajar universiti menjadi ahli parti politik.

Namun percanggahan cadangan ini dengan peraturan di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti menjadikan mahasiswa terus pesimis dengan cadangan-cadangan selepas daripada itu yang dikeluarkan oleh Menteri berkenaan.

Tambahan pula dengan lontaran idea yang hanya dibiar sepi oleh pihak Kementerian selepas ianya diperbincangkan oleh semua pihak, akhirnya cadangan ini senyap begitu sahaja.

Dalam hal ini, terdapat dua persoalan penting yang harus kita rungkaikan. Pertama, bagaimana ruang lingkup berpolitik yang perlu difahami oleh mahasiswa?

Perkara asas yang perlu difahami oleh mahasiswa ialah mahasiswa adalah suatu entiti di dalam masyarakat yang pada hakikatnya mempunyai kewarganegaraan yang sah seperti rakyat Malaysia yang lain.

Lalu, di atas asas ini kita memahami bahawa mahasiswa juga adalah rakyat di mana hak sivil seperti bersuara, mengemukakan pendapat, memberi cadangan dan lain-lain adalah dijamin oleh perlembagaan. Hak ini diiktiraf oleh perlembagaan Malaysia serta tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun.

Sebagai kelompok intelektual dalam masyarakat, aksi berpolitik mahasiswa tidaklah sama seperti masyarakat biasa.

Kelebihan daya intelektual ini memberikan mahasiswa keupayaan untuk melihat negara dengan pandang sisi yang tersendiri. Idea kelompok mahasiswa adalah 'genuine' atau asli yang menjadikan mahasiswa tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pengaruh politik kepartian.

Oleh sebab itu, prinsip 'non partisan' menjadi teras penglibatan mahasiswa dalam politik tanah air.

Selain itu, mahasiswa juga dikelompokkan di dalam kelompok masyarakat sivil. Di dalam sesebuah negara yang mengimpikan keadaan politik yang stabil, masyarakat sivil berfungsi menjadi agen semak imbang kepada negara.

Mahasiswa bebas memberi cadangan dan mengkritik secara konstruktif berbekalkan nilai-nilai akademik yang digariskan. Salah faham sesetengah pihak di dalam hal ini ialah, apabila mahasiswa mengkritik maka mereka dilabel 'anti-establishment' dan dianggap mahu menjatuhkan kerajaan.

Oleh itu, aksi-aksi politik mahasiswa harus ditanggapi dengan cermat, jangan sampai seluruh anak muda protes terhadap politik negara.

Persoalan kedua, apakah AUKU itu sendiri menjadi 'root cause' atau masalah pokok yang mengekang aktivisme mahasiswa di dalam politik?

Jawapannya adalah ya.

AUKU itu sendiri dicipta atas tujuan yang tidak baik atau disebut sebagai 'mala fide'. Penggubalan AUKU adalah bertujuan bagi menyekat maraan gerakan mahasiswa bertitik tolak daripada beberapa peristiwa.

Antaranya, seperti pengisytiharan manifesto oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) di dalam Pilihanraya Umum ke-4 sehingga tercetusnya Persitiwa 13 Mei 1969, demontrasi Anti Tunku oleh PMUM di UM pd 29 Ogos 1969 serta demontrasi "Papan Tanda" 5 Okt. 1970 iaitu pertembungan PMUM (sosialis) & PBMUM (nasionalis) sehingga membuka terlalu banyak kelemahan Kerajaan dalam isu Bahasa Melayu dan Pendidikan.

Pembaca jangan terlalu terkejut dengan dakwaan saya ini.

Baru-baru ini saya melihat gambar di dalam laman sosial Facebook Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya, di dalam slaid pembentangan oleh bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) menggariskan poin bahawa AUKU berjaya mengekang kegiatan pelajar yang bertentangan dengan dasar universiti dan kerajaan.

Beliau dalam slaid tersebut juga berpendapat gerakan pelajar ini tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi menggugat keselamatan serta menjatuhkan kerajaan.

Mahasiswa, AUKU dan PRU13

Saya menulis artikel ini dengan niat untuk melihat kembali sejauhmana kebebasan pergerakan mahasiswa diberi perhatian. Saya mencadangkan idea membenarkan partisipasi mahasiswa dalam politik dinilai segera oleh kerajaan dan semua pihak terutamanya menjelang Pilihanraya Umum ke-13.

Ini juga sebagai langkah awal bagi memastikan tiada lagi mahasiswa yang didakwa, ditangkap dan dibicarakan atas nama AUKU apabila melibatkan diri dalam politik negara.

Penulis adalah Yang Di-Pertua MPMUMFull Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

IRF: Ibrahim Ali kurang ajar

Posted: 21 Jun 2011 06:43 PM PDT

Kami membaca berita tentang Ibrahim Ali daripada PERKASA mendakwa kononya akan mempertahankan keamanan dan menghalang BERSIH 2.0 daripada mengadakan perhimpunan pada 9 haribulan Julai dengan penuh rasa marah dan kesal.

Tindakan dungu membakar dan memijak gambar Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan merupakan suatu penghinaan yang sungguh menjelikkan. Tambahan pula menggelarkan beliau dengan panggilan "wanita Hindu" adalah bersifat kurang ajar dan jelas menggambarkan sikap biadab Presiden PERKASA itu sendiri.

Kami ingin menyatakan dengan jelas bahawa perhimpunan yang dirancang adalah dipelopori oleh masyarakat madani tanpa sebarang perintah daripada mana-mana parti politik.

Tuntutan telah pun disampaikan bahawa kami menuntut pilihanraya yang bebas dan adil serta demokrasi liberal yang tulen. Untuk bertahun lamanya kita telah melihat pengaturan undi dan penentuan sempadan pilihan raya yang memberi kelebihan kepada pihak tertentu (gerimander).

Tidak lupa juga liputan media yang berat sebelah dan mendiamkan sebarang kritikan ke atas parti pemerintah.

Tidak pernah ada 'lapangan permainan' politik yang sama rata dan kita telah lelah melihat pelbagai gangguan politik. Amalan rasuah yang menjijikkan begitu tersebar luas sehingga seakan-akan telah membudaya di dalam masyarakat.

Inilah masanya untuk perubahan, dan biarlah BERSIH 2.0 menjadi pemangkin kepada perubahan itu. Ancaman Presiden PERKASA bahawa apa-apa pun boleh terjadi pada hari tersebut dan masyarakat Tiong Hua hendaklah membeli makanan tambahan untuk disimpan di rumah tidak akan melunturkan semangat kami untuk berarak demi demokrasi.

Keputusan pilihanraya terkini di Sarawak jelas menunjukkan tiada sebarang perubahan telah dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memastikan sebuah pilihanraya yang bebas dan adil seperti yang dijanjikan.

Dengan itu kami telah membuat keputusan bahawa satu-satunya cara untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kebejatan sistem yang ada sekarang adalah dengan mengadakan satu perhimpunan aman.

Hak untuk berhimpun adakah hak asasi yang termaktub di dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia 1948 (Artikel 20) dan Kovenan Antarabangsa Hak-hak Sivil and Politik 1966 (Artikel 21).

Kepada saudara Muslim yang berniat untuk terus berkecuali dan tidak mahu ambil peduli dengan tindakan angkuh yang tidak menghormati prinsip-prinsip demokrasi, kami ingin mengingatkan bahawa tindakan berdiam diri hanya akan memperkukuhkan pemerintahan kuku besi yang korup, dan tiada perubahan akan dapat dilihat dengan hanya berdoa untuk perubahan tanpa sebarang usaha.

"Sesungguhnya, Tuhan tidak akan merubah keadaan sesuatu kaum melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri" [Qur'an 13:11]

Sekiranya demokrasi itu mencambahkan "semangat penentangan", maka sebenarnya ia telah pun menjadi sebahagian daripada sejarah dan budaya umat Islam. Imam-imam kepada mazhab-mazhab fekah utama dalam Islam bersungguh-sungguh memprotes daripada mazhab mereka dijadikan mazhab rasmi negara pada zaman itu.

Ramai telah dipenjarakan akibat kritikan terhadap pemerintah di zaman mereka. Kita adalah pewaris kepada tradisi ini, yang membekalkan umat Islam hari ini dengan khazanah idea-idea yang demokratik.

Rejim kuku besi haruslah diajar bahawa cukuplah apa yang telah mereka lakukan selama ini. Ayuh hadir pada 9 haribulan Julai, baik lebatnya hujan ataupun teriknya mentari, kita akan berada di sana, berarak untuk kebebasan dan demokrasi.

Penulis adalah Pengerusi dan Pengarah, Islamic Renaissance Front (IRF)

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.malaysiakini.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysiakini Online

Copyright 2010 All Rights Reserved