Selasa, 14 Jun 2011

Malaysiakini :: Surat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Malaysiakini :: Surat


Hospital kerajaan perlu diaudit dengan sempurna

Posted: 13 Jun 2011 07:30 PM PDT

Adakah longgokan barangan perubatan yang tidak digunakan di Hospital Pulau Pinang baru-baru ini merupakan sebahagian kecil masalah kepada masalah yang lebih besar berkaitan dengan kelemahan penyeliaan terhadap perolehan, penggunaan dan pelupusan di hospital kerajaan?

Apa yang diperlukan oleh masyarakat dan apa yang dikehendaki oleh pengguna ialah tindakan proaktif di pihak kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan, untuk memastikan sistem pemantauan yang sempurna berhubung dengan semua urusan yang berkaitan dengan pembekal.

Bukanlah perbelanjaan yang cermat bagi pihak hospital untuk membazirkan wang pembayar cukai untuk membeli barangan perubatan dalam jumlah yang banyak atau jenis yang mereka tidak perlukan dan dengan mudah membuangnya.

Banyak persoalan yang timbul berhubung insiden Hospital Pulau Pinang di mana kotak kadbod rosak berisi barangan makmal dan ubatan yang tidak digunakan bernilai beribu-ribu ringgit ditemui bertaburan di rumah kediaman kakitangan kerajaan.

Hanya sedikit sahaja yang masih boleh digunakan kerana kebanyakan daripada produk itu telah tamat tempoh. Pembuangan itu mungkin disebabkan oleh kawalan yang lemah terhadap perolehan yang membawa kepada bekalan berlebihan atau pelupusan yang membawa kepada pembuangan sembarangan.

Pihak berkuasa hospital perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku, dan membuat susulan dengan menyiasat sepenuhnya apa yang berlaku.

Pengakuan Pengarah hospital bahawa barangan perubatan yang tidak digunakan itu disimpan di kediaman itu untuk sementara, kerana kerja penyelenggaraan dan membersih stor sedang dijalankan, menunjukkan sikap kurang akauntabiliti.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat bimbang mengenai amalan perolehan dan pelupusan di hospital kerajaan, malah di hospital swasta berdasarkan berhubung pendedahan terhadap bahaya sisa klinikal.

Terdapat kira-kira 150 hospital kerajaan di Malaysia dan pengurusan sisa hospital daripada barangan perubatan yang digunakan dan tidak digunakan telah menimbulkan kebimbangan pihak berkuasa dan orang awam.

Peraturan bagi pengurusan sisa klinikal atau perubatan dilaksanakan pada 1993, iaitu Dasar Pengurusan Sisa Hospital; Garis Panduan bagi Pengurusan Sisa Klinikal dan yang berkaitan di Hospital dan Pusat Jagaan Kesihatan, Pelan Tindakan bagi Pengurusan Sisa di Hospital dan Pusat Jagaan Kesihatan.

Sebelum itu, amalan pengurusan sisa berbeza dalam kalangan hospital dan sisa tidak dikategorikan dengan jelas dan tidak dilupuskan dengan betul. Kurangnya kesedaran tentang bagaimana untuk menguruskan sisa hospital dengan sempurna dalam kalangan pekerja jagaan kesihatan.

Kerajaan menswastakan pengurusan sisa klinikal pada 1997, dengan menyerahkan tugas itu kepada tiga konsortium swasta untuk menguruskan sisa perubatan atau klinikal di hospital kerajaan dengan tempoh konsesi 15 tahun.

Kini sejumlah besar sisa klinikal dihasilkan dan jumlahnya terus meningkat tahun demi tahun sehingga menimbulkan kebimbangan.

Antara puncanya ialah pembelian berlebihan, pengunaan berlebihan, permintaan meningkat untuk bekalan dalam berhadapan dengan penyakit berjangkit dan penduduk yang meningkat usia tua di Malaysia, penggunaan alatan klinikal guna buang barangan kebersihan yang meluas dan audit bebas dalaman perolehan hospital yang buruk.

Pemegang konsesi bertanggungjawab bagi pengumpulan, mengangkut dan melupuskan sisa tetapi pengurusan sisa pada sumber utama kekal di pihak berkuasa hospital.

Pada 2009, tiga pemegang konsesi menguruskan hampir 16,000 tan buangan jarum dan picagari, kain kasa, sarung tangan, plaster, ubatan, skalpel, alatan pembedahan yang dibuang, kain pembalut luka yang telah digunakan dan sisa lain yang merupakan tiga kali ganda jumlah yang dihasilkan pada 2000.

Sisa klinikal dijangka berkembang pada kadar purata 12.8 peratus setiap tahun dan akan mencapai 32,891 tan menjelang 2020; jumlah ini dianggap lebih besar berbanding 18,000 tan setahun bagi keupayaan infrastruktur insinerator semasa.

Oleh sebab itu CAP menggesa kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan supaya mengurangkan pembaziran dan sisa di hospital kerajaan seperti berikut:

Mengurangkan sisa pada peringkat sumber

  • Dokumentasi bekalan yang sempurna dan membuat pembelian menurut keperluan.
  • Mengaudit pembelian dan pelupusan secara tetap untuk mengelakkan pembelian berlebihan.
  • Diagnosis dan rawatan yang sempurna untuk mencegah penggunaan/preskripsi ubatan berlebihan.
  • Mempromosikan penggunaan ubatan dengan lebih rasional sepertimana yang dinasihatkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
  • Pelupusan barangan lebihan yang disimpan mestilah diluluskan oleh pengarah hospital, dan semua pelupusan mestilah direkodkan.
  • Membeli produk yang betul untuk mengcegah pembaziran, penggunaan berlebihan, dan perbelanjaan yang tidak sepatutnya.
  • Memastikan hospital tidak menjadi tempat longgokan bagi produk perubatan yang tamat tempoh atau tidak bermutu daripada syarikat.
  • Pentadbiran yang lebih baik bagi perolehan dan inventori, untuk mengelakkan hospital membuang peralatan atau produk yang masih baik atau tidak pernah digunakan.

Akauntabiliti

  • Ketua/Pengarah setiap hospital mestilah memastikan mereka mematuhi peraturan Kementerian Kesihatan berhubung pengurusan sisa klinikal.
  • Latihan untuk kakitangan hospital untuk mengendalikan dan memisahkan sisa di hospital untuk pengumpulan oleh pemegang konsesi, untuk mencegah pembuangan sembarangan.
  • Pengarah perlu menyelaras dan memantau semua operasi pelupusan sisa.
  • Memastikan kualiti produk yang dibeli untuk memastikan tidak diganti dengan kualiti yang lebih rendah dan tidak tahan lama.

Hubungan antara hospital dan industri peralatan/ubatan

  • Mestilah terdapat ketelusan dalam hubungan antara doktor dan industri untuk mencegah sebarang pengaruh terhadap pembelian.
  • Kod etika bagi doktor, pentadbir dan lain-lain kakitangan yang kedudukannya berpengaruh di hospital daripada menerima hadiah, kemudahan yang menjadikan mereka berat sebelah atau terhutang budi kepada pihak industri.

Mengamalkan Jimat Cermat

  • Meneliti dan perbandingan kos efektif untuk memastikan hospital tidak membayar dua kali untuk pembalutan, ubatan, dan bekalan perubatan lain.
  • Kerjasama antara hospital kerajaan untuk merundingkan perolehan terbaik dengan pembekal.
  • Elakkan menjadi mangsa kepada penjualan diskaun bagi pembelian pukal dan pembelian melangkaui keperluan mereka.

Amat penting bagi hospital mendapat nilai bagi wang yang dibelanjakan dan mengelakkan perolehan yang membazir.

Pihak hospital juga mestilah mendapatkan pandangan kepakaran penasihat kerajaan jika perlu menguruskan perolehan, penggunaan dan pelupusan bekalan perubatan dengan bijak.

CAP menggesa supaya amalan perolehan yang lebih cekap dan pelupusan sisa di hospital kerajaan adalah selaras dengan garis panduan kementerian.

Kami menggesa kerajaan supaya melaksanakan audit yang sempurna dan akauntabiliti bagi mencegah insiden bayaran berlebihan bagi produk, pembelian berlebihan dan salah urus sisa dalam kawasan hospital.

Langkah ketelusan dan akauntabiliti mestilah digunakan untuk memastikan pentadbir hospital bertanggungjawab.

Penulis adalah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan boleh dihubungi di tel: 04 8299511 faks: 04 8298109 emel: idris_md@streamyx.com

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sasterawan Negara wajar dirujuk

Posted: 13 Jun 2011 07:27 PM PDT

Tahniah kepada Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali sebagai Kemala atas pemahsyuran beliau sebagai Sasterawan Negara ke-11.

Meskipun tiada sambutan atau liputan secara besar-besaran, anugerah tersebut tetap adalah satu penghormatan yang besar dan berprestij khususnya kepada sasterawan yang yang tekal menyumbangkan buah fikir dalam berkarya demi untuk korpus keilmuan dan keintelektualan anak bangsa di kemudian hari.

Entah di mana silapnya, di Malaysia selepas Dasar Pandang ke Timur, Wawasan 2020 dan fokus pembangunan dan pengajian berteraskan teknologi maklumat diapungkan menjadi dasar pelaksanaan dan dasar matlamat waras fikir rakyat, kesusasteraan terus terpinggir bak melukut di tepi gantang.

Hasilnya, kesusasteraan menjadi subjek dan lapangan yang dilihat hanya diminati oleh golongan kuat berkhayal dan tidak berpijak di bumi yang nyata.

Mereka yang meminati sastera dilihat sebagai manusia pelik yang suka menyendiri dan bersifat individualistik, tidak bernilai dan tidak punyai nilai komersial dan peluang bagi memakan gaji besar di kemudian hari.

Hakikatnya, sastera adalah satu wadah yang sudah wujud setua wujudnya ilmu matematik, muzik, falsafah, logik dan sebagainya.

Melalui sastera dan persuratan, segala ilmu yang maujud pada hari ini boleh dikesinambungkan sehingga berkembang dan membentuk ilmu-ilmu yang terus bercambah dan mencapah.

Jangan dilupa juga antara tiga kategori anugerah Nobel dunia yang pertama dianugerahkan juga adalah dalam bidang sastera selain daripada ekonomi dan fizik.

Ini adalah kerana, dunia mengiktirafkan peranan dan pengaruh sastera dan persuratan dalam mempengaruhi masyarakat dunia dalam menentukan hala tuju mereka, sama ada untuk kebaikan atau sebaliknya.

Kalau kita baca, biografi tokoh-tokoh hebat dunia sepanjang zaman sama ada mereka itu Muslim atau bukan Muslim, nescaya kita akan mendapati kesemua mereka memang menjadikan sastera bangsa sebagai teras pengajian malah menyanjung dan menganguminya.

Dalam masa yang sama, mungkin mereka sendiri adalah seorang sasterawan dan juga agamawan, sasterawan dan juga matematikiawan, sasterawan dan ahli logik dan falsafah dan seterusnya.

Justeru, saya menyeru pihak media arus perdana memberikan ruang yang sewajarnya kepada para sasterawan kita. Jadikan mereka sebagai rujukan dan mohon pendapat dan sudut pandang mereka dalam segala genap isu yang berlaku dalam negara.

Malah amat patut diadakan rancangan khusus di televisyen seperti yang dikendalikan untuk mereka melontarkan buah fikir seperti rancangan Bual Bicara dan Respon bersama Sasterawan Negara.

Atau paling kurang berikan mereka satu kolum khusus dalam akhbar perdana bagi mereka berinteraksi dan berkongsi buah fikir dan keintelektualan mereka dengan masyarakat Malaysia keseluruhannya.

Kita nanti dan lihat pihak manakah yang terlebih dahulu menunjukkan penghargaan mereka kepada permata tanah air yang tidak jenuh melorek tinta mereka di lembaran zaman demi sebuah pemikiran dan rakaman rasa masyarakat demi sebuah kehidupan bermasyarakat yang bermakna.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.malaysiakini.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysiakini Online

Copyright 2010 All Rights Reserved