Sabtu, 3 September 2011

Malaysiakini :: Berita


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Malaysiakini :: Berita


MB Kedah tak perlu pemangku, kata Azizan

Posted: 03 Sep 2011 08:16 PM PDT

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menegaskan tiada keperluan untuk mewujudkan jawatan pemangku bagi membantu beliau mentadbir negeri itu berdasarkan situasi kesihatannya pada masa ini.

azizan abdul razak pas and kedahAzizan berkata, selama ini pun beliau bukan menjalankan tugas berseorangan tetapi sudah lebih tiga tahun mentadbir negeri ini dengan dibantu barisan exco kerajaan negeri yang dilantik.

Malah, menurut Azizan beliau cukup kuat untuk menjalankan tugas selaku ketua pentadbiran kerajaan negeri sebagaimana yang dilakukannya sejak Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Kedah pada pilihan raya umum 2008 lalu.

"Bagi saya sebagai menteri besar, saya tengok apa yang ada sudah elok. Barisan exco telah menjalankan tugas dengan baik," katanya dipetik Mingguan Malaysia.

"Kecuali pada pandangan PAS Pusat saya buat kerja tidak elok, itu hak merekalah nak tolong Kedah ini," katanya di Yan, semalam.

Azizan bekata demikian bagi mengulas kenyataan timbalan presiden PAS Mohamad Sabu yang disiarkan dalam sebuah portal berita bahawa pimpinan PAS Pusat akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan PAS negeri bagi membincangkan perkara itu berikutan laporan sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris kelmarin.

Laporan akhbar berkenaan antara lain menyebut mengenai pelantikan pemangku menteri besar bergantung kepada tahap kesihatan Azizan.

Mengenai cadangan Pemuda Gerakan Kedah agar diwujudkan jawatan timbalan menteri besar bagi memastikan pentadbiran negeri tidak terjejas jika pimpinan tertinggi kerajaan negeri tidak dapat berfungsi bagi suatu tempoh yang panjang, Azizan berkata, perkara itu tidak boleh dilaksanakan sesuka hati.

Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Kedah, jika seseorang menteri besar itu sudah tidak mampu untuk menjalankan tugasnya, perkara berkenaan perlu dimaklumkan kepada Sultan Kedah.

Selepas itu, barulah parti pemerintah kerajaan negeri semasa boleh mencadangkan kepada Sultan Kedah mengenai pelantikan baru.

"Persoalannya, sekarang ini saya cukup kuat. Saya tidak tahu tang (bahagian) mana saya tidak mampu. Cuti bukan satu masalah. Saya akan terus menjalankan tugas selagi diberi amanah oleh PAS Pusat untuk mengetuai Kedah," katanya.

Jenazah Noramfaizul tiba di Pangkalan TUDM Subang

Posted: 03 Sep 2011 08:06 PM PDT

Jenazah jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia, tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, pada jam 10 pagi tadi.

Suasana hiba menyelubungi perkarangan pangkalan itu sebaik jenazah Allahyarham dibawa keluar daripada pesawat C-130 TUDM yang turut membawa pulang anggota misi bantuan Malaysia itu.

Jenazah Allahyarham yang diiringi Pengerusi Putera Umno merangkap ketua misi bantuan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, disambut anggota keluarga termasuk ayah Mohd Nor Mat Yassin, 66, dan ibu Naemah Abd Majid, 63.

Selain anggota keluarga, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut menyambut ketibaan jenazah Allahyarham Noramfaizul dan kumpulan misi bantuan kemanusiaan bertujuan membantu mangsa kebuluran di Somalia.

noramfaizul mohd norTurut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jurugambar dan jurukamera mewakili pelbagai organisasi media kelihatan berkerumun di bahagian belakang pesawat ketika keranda dilitupi "Jalur Gemilang" yang membawa jenazah Allahyarham dibawa keluar untuk dibawa ke Masjid TUDM.

Dalam kejadian pada Jumaat itu, kenderaan yang dinaiki Noramfaizul, 39, dan petugas media Malaysia lain yang diiringi tentera kerajaan Somalia, ditembak ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan.

Insiden itu turut menyebabkan jurukamera TV3 Aji Saregar Mazlan, cedera di lengan.

Perdana Menteri memberitahu sidang media kemudian bahawa beliau kagum dengan semangat dan kecekalan Allahyarham dalam membuat liputan beberapa misi bantuan kemanusiaan Malaysia di luar negara.

"Saya anggap Allahyarham Noramfaizul sebagai wira negara yang harus dijadikan model bagi merangsang semangat kita untuk terus membantu mereka yang kurang bernasib baik," kata Najib.

Beliau juga secara peribadi dan bagi pihak isterinya yang juga penaung misi itu, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham kerana kehilangan orang tersayang.

Turut hadir di Subang ialah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Pengurus Besar Datuk Hasnul Hassan, Ketua Pengarang Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Editor BernamaTV Abdul Rahman Ahmad selain warga BernamaTV dan agensi berita itu.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid TUDM sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga arwah di Taman Serdang Raya untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

- Bernama

Kredit: www.malaysiakini.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysiakini Online

Copyright 2010 All Rights Reserved