Malaysiakini :: Kolum |
Posted: 12 Sep 2011 03:22 AM PDT Negara yang bertamadun dan berdaulat terlebih dahulu harus bebas daripada penjajahan politik. Mutakhir ini timbul polemik sama ada Malaysia pernah dijajah oleh Inggeris, atau hanya dinaungi oleh Inggeris. Kali ini mari kita kembali kepada pandangan pakar sejarah. Mereka ialah Barbara Watson Andaya dan Leonard Y Andaya yang telah menghasilkan buku Sejarah Malaysia (Petaling Jaya: Macmillan, 1982, 391 halaman).
Leonard Y Andaya pula pernah bertugas sebagai pensyarah kanan di Jabatan Sejarah, Universiti Auckland. Buku-buku beliau termasuklah The Kingdom of Johor 1641 - 1728 (1975), dan Heritage of Arung Palaka: A History of South Sulawesi (Celebes) in the Seventeen Century (1981). Kedua-dua mereka pernah mengajar di Universiti Malaya dan telah mengadakan Research Fellowship di Australian National University (ANU). Berikut ialah petikan daripada buku mereka Sejarah Malaysia. Diturunkan sub bab dalam buku tersebut, bersama-sama petikannya yang relevan dengan judul tulisan ini. Hidupnya sebuah masyarakat kolonial 1919-57 "Menjelang tahun 1919, seluruh Semenanjung Tanah Melayu tertakluk kepada satu corak penguasaan Inggeris. Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB) telah berada paling lama di bawah pengaruh Inggeris, dan akibatnya berbagai-bagai institusi adalah lebih erat diselaraskan daripada institusi yang sama di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (NMTB)...
"Ke arah inilah pihak Inggeris mendirikan jentera politik dan pentadbiran untuk menggemblengkan sumber-sumber negeri di Semenanjung... Semasa zaman kolonial, kebanyakan tulisan penting mengenai sejarah awal dan kebudayaan orang Melayu telah diterbitkan oleh sekumpulan sarjana-pentadbir terutama dalam Journal Malayan Branch of the Royal Asiatic Society ." (halaman 238-240). Mengadakan rangka bagi ekonomi eksport "Kekuasaan pemerintah kolonial baru yang hampir-hampir tidak boleh dicabar itu segera mendorong perubahan-perubahan yang dikatakan mustahak bagi memudahkan pembangunan serta membawa keuntungan yang berterusan dari ekonomi eksport.
"Tanpa cabaran dari kelompok kepentingan tempatan yang kuat, pihak Inggeris dengan bebas dapat melakukan penyusunan semula masyarakat tempatan dengan mengaturkan semula kegunaan sumber-sumber untuk maklumat kemajuan ekonomi yang lebih besar. "Sehingga tahun 1919, Semenanjung Tanah Melayu telah melihat perubahan-perubahan yang begitu pesat dalam bidang sosio ekonominya. Kini wajarlah istilah 'British Malaya' mula digunakan, sebab sesungguhnya Malaya telah menjadi 'British' dalam ertikata matlamat sosial dan ekonominya." (halaman 240). Kemerdekaan "Pada bulan April 1949, Parlimen Inggeris telah membuat pengikatan memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu dengan disahkan dalam bulan Mac berikutnya oleh Perdana Menteri Inggeris.
"Ke arah matlamat ini, juga bagi melemahkan dan seterusnya menghancurkan PKM, Templer telah memperkenalkan pilihanraya setempat, majlis mesyuarat kampung, dan kewarganegaraan kepada lebih separuh daripada orang-orang Cina; menggabungkan Majlis Perang dengan Majlis Mesyuarat Kerja Kerajaan; dan membolehkan orang-orang Cina, buat pertama kalinya, memasuki Perkhidmatan Awam Tanah Melayu.
"Sungguhpun kemenangan muktamad menentang komunis masih belum dicapai pada tahun 1957 apabila kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diumumkan, ancaman komunis itu telah hampir-hampir hapus. "Namun, ancaman perkauman masih kekal, warisan pemerintah kolonial, yang akan menentukan kehidupan terus atau pun kehancuran muktamad negara yang baru itu." (halaman 308). Tulisan ini bahagian ketiga daripada siri artikel pendek bertemakan "Masyarakat Bertamadun" yang akan diterbitkan setiap dua minggu. Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini. |
You are subscribed to email updates from Malaysiakini :: Kolum To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan